KURMA
Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa
saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada
yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara
Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma
Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dikalangan
penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah
dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari.
Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga
mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah
Sallallahu alaihi Wasallam.
KHASIAT KURMA
Kurma
diangkat tinggi oleh Rasulullah saw kerana mempunyai nilai kandungan makanan
yang tinggi. Kandungan protein di dalam kurma lebih kurang 1.8 hingga 2.0
peratus, serat 2.0 hingga 4.0 peratus manakala kandungan gulanya 50 hingga 57
peratus glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula di dalamnya telah ditukar
secara semulajadi. Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap
tubuh adalah serta-merta. Sebaliknya gula di dalam kebanyakan buah-buahan
dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa
tidak boleh menyerap terus dalam tubuh. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh
enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap tubuh sebagai tenaga.
Disunatkan berbuka dengan kurma kerana orang yang berpuasa tidak makan
selama 12 jam. Kurma menyumbang tenaga serta-merta kepada si pemakan dan ini
memudahkan seseorang beribadat dan menunaikan sembahyang maghrib atau tarawih.
Apabila tubuh berasa segar dan bertenaga ia menghalang kita makan berlebihan
atau mengikut nafsu. Kadangkala waktu berbuka kita makan terlalu banyak, tetapi
masih letih dan tidak bertenaga. Sebabnya makanan yang diambil kebanyakan
mengandungi karbohidrat, tanpa tenaga serta-merta menjadi penyebab selesai
makan, mata pun mengantuk.
Kita makan kurma tanpa buang kulitnya yang mengandungi serat. Amat baik
untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan. Sementara kandungan
vitamin A dan C amat tinggi pada peringkat khalal atau rotab dan menurun
sedikit pada peringkat tamar. Selain itu ia mengandungi zat galian dan yang
paling banyak dikenali sebagai potasium. Potasium diperlukan oleh tubuh untuk
sistem saraf kerana kurma adalah excellant source atau sumber mujarab. Memang
dalam susu, yogurt dan makanan laut juga mengandungi potasium tetapi jumlahnya
sedikit.
Ramai beranggapan hanya kismis yang baik untuk menguatkan ingatan,
sebenarnya kurma juga setanding. Mungkin atas alasan pihak-pihak tertentu atau
negara pengeluar anggur telah menjalankan kempen makan kismis dan mempopularkan
khasiatnya.
Diriwayat oleh Aishah r.a. yang menjelaskan, kurma mengandungi ubat.
“Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun
yang dimakan.”
Dalam bidang perubatan dengan ketiadaan kolesterol, lemak dan gula di
dalam kurma, ia amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi. Dalam perubatan
homeopati, biji kurma dikisar halus atau dijadikan serbuk seperti teh. Direndam
dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.
Melalui petua tertentu, kurma dimakan bersama badam dan madu untuk
menyembuhkan penyakit. Kurma dikatakan menambah tenaga seksual atau batin. Jus
buah kurma mungkin baru di negara ini, sebaliknya di negara pengeluar selain
dimakan segar, kering atau salai, kurma dibuang biji dan diganti dengan kacang
tanah, badam atau gajus bagi mengenakkannya. Kurma juga dibuat jem, sirap atau
bahan tambahan dalam aiskrim.
Kurma
sejenis buah yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium,
vitamin A dan C dan juga niasin.Ia lazimnya dimakan semasa bulan Ramadhan dan
mempunyai khasiat serta nilai yang tinggi dalam dunia perubatan tradisional.
Dari segi saintifik amat berkesan bagi mengubati gangguan usus yang kronik,
dimana ketidakserasian dengan gluten, menghalang penyerapan zat-zat makanan
secara sempurna. Kurma
mengandungi sejenis bahan protein serta garam galian yang menghentikan tindak
balas luar biasa yang dicetuskan oleh gluten dalam usus kecil. Tindakbalas itu
jika dibiarkan boleh membawa kepada pengeluaran sel darah putih secara
berlebihan.
Selain
daripada gangguan usus, jus kurma berkesan untuk mengatasi masalah sembelit.
Bagaimanapun minuman ini tidak sesuai di amalkan oleh mereka yang mengidap
penyakit diabetis, kerana ia boleh mendatangkan kesan yang lebih serius.
Jus
kurma juga merupakan penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi
masalah insomnia. Bagi mereka yang mengalami masalah batuk jus kurma sesuai
untuk diamalkan kerana kandungan gula dalam buah kurma bertindak menghilangkan
gatal-gatal dalam kerongkong sekaligus menghentikan batuk.
Kurma
dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan yang banyak
kerana telah terbukti, di dalam Al-Quran terdapat 21 ayat yang menyebut tentang
kurma.
Mengikut
pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium
sesuai untuk wanita sama ada semasa hamil dan selepas bersalin. Hal ini
berasaskan kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada ibu Isa iaitu Maryam
binti Imran supaya memakan buah kurma ketika beliau dalam keadaan lemah selepas
bersalin.